

PERUTUSAN YDP LAMA TAHUN 2017
![screen-16.14.22[12.02.2019].jpeg](https://static.wixstatic.com/media/39a960_f821fb9943e04bff84390ea42925010a~mv2.jpeg/v1/fill/w_514,h_458,al_c,lg_1,q_80,enc_avif,quality_auto/screen-16_14_22%5B12_02_2019%5D.jpeg)
Perutusan YDP, 2017
Alhamdulillah, kalimah syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya jua kita masih mampu berada di bumi Allah ini. Menjejaki tahun 2014 ini bererti makin bertambah jua usia kita. Hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 harus disedari oleh semua lapisan masyarakat. Kini hanya tinggal enam tahun sahaja lagi menjelang 2020. Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang berstatus tunggal di negeri Perlis ini, kita sedar bahawa tanggungjawab yang perlu dipikul amat berat dan memerlukan komitmen yang padu dari semua pihak.
Sememangnya secara langsung, segala tanggungjawab ini tergalas di bahu setiap kakitangan Majlis Perbandaran Kangar. Namun begitu, secara tidak langsung pihak Majlis juga memerlukan sokongan dari seluruh masyarakat negeri Perlis untuk bersama membantu menjayakannya. Dengan seikhlas hati, saya mengharapkan sokongan dari seluruh rakyat negeri Perlis untuk membantu Majlis Perbandaran Kangar menjadi sebuah jabatan kerajaan terbaik di negeri Perlis khususnya dan Malaysia amnya.
Tahun 2014 merupakan tahun yang mencabar bagi negeri Perlis. Pada 24 Mei hingga 4 Jun ini bakal berlangsungnya SUKMA XVII Perlis 2014. Maka secara tidak langsung Majlis Perbandaran Kangar juga turut terlibat di mana pihak Majllis telah dipertanggungjawabkan untuk keceriaan dan kebersihan negeri Perlis. Justeru, landskap-landskap sedia ada harus berubah wajah bagi memperlihatkan Perlis sebagai sebuah negeri yang indah. Faktor kebersihan juga amat dititikberatkan bagi menjayakan hasrat kerajaan negeri menjadikan PERLIS MAJU 2015.
Seperti yang kita sedia maklum, faktor dan bukti utama sesebuah negeri itu maju adalah apabila penduduk dapat melihat sendiri perubahan fizikal dari segi pembinaan bangunan baru, infrastruktur dan monumen-monumen menarik. Secara keseluruhannya, Physical Look merangkumi semua aspek yang boleh dilihat, dirasa dan dialami oleh penduduk. Penilaian terhadap kebersihan, keceriaan landskap dan kemudahan awam yang mencukupi juga merupakan aspek penting di dalam mencerminkan Perlis sebuah negeri maju.
Kita amat sedar bahawa maju disini bukanlah sekadar maju dari aspek pembangunan semata-mata. Namun, perkataan maju itu membawa maksud yang amat mendalam sehinggakan Majlis Perbandaran Kangar sendiri telah diletakkan di bawah Inter Agency Planning Group (IAPG) Keindahan Fizikal. Keindahan fizikal yang dimaksudkan ini merangkumi soal-soal keindahan landskap dan kebersihan keseluruhan negeri Perlis. Justeru, segala apa yang telah dipertanggungjawabkan ini harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Dengan rendah hati, saya ingin memohon kerjasama dari semua masyarakat untuk kita sama-sama berganding bahu, bekerja bersama, memberikan komitmen yang terbaik dan bantu membantu sesama kita bagi menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk melihat sebagai sebuah negeri yang dikatakan kerdil tetapi mampu menjulang dan mengharumkan nama hingga ke peringkat tertinggi. Insyaallah, saya amat yakin dan percaya kita semua mampu untuk merubah landskap negeri ini ke arah yang lebih baik sekiranya kita semua bersatu hati.
Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang sudi melayari laman web ini. Sebarang aduan dan cadangan dari pembaca sekalian amatlah saya hargai.
Salam hormat dari saya
AHMAD BIN HUSSIN
Yang Dipertua
Majlis Perbandaran Kangar
![screen-13.09.00[10.07.2018].jpeg](https://static.wixstatic.com/media/39a960_d10357041223487182450f17e527ed76~mv2.jpeg/v1/fill/w_479,h_12,al_c,lg_1,q_80,enc_avif,quality_auto/screen-13_09_00%5B10_07_2018%5D.jpeg)